KLANG: Tindakan menggunakan MyKad milik saudara untuk mendapatkan pekerjaan membawa padah apabila beberapa warga Indonesia ditahan dalam Ops Kisar di sebuah kilang pemprosesan makanan sejuk beku di Pulau Indah, malam tadi.

Seorang lelaki dikenali sebagai Res, 20, mengaku menggunakan MyKad milik abang saudaranya yang menetap di Sabah bagi membolehkannya bekerja di negara ini. Dia mendakwa tidak mengetahui perbuatan itu merupakan satu kesalahan.

“Saya hanya mahu mencari rezeki dan baru dua bulan bekerja di sini. Saya menggunakan kad pengenalan milik abang saudara tanpa mengetahui bahawa perbuatan itu merupakan satu kesalahan,”dakwanya yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.

Res antara 36 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penggunaan kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Turut ditahan seorang wanita yang disyaki menggunakan MyKad palsu selepas nombor kad pengenalannya didapati tidak sepadan dengan umur sebenar sebelum mengaku berasal dari Indonesia. Wanita itu mendakwa urusan dokumentasinya diuruskan oleh ejen.

Seorang lagi wanita berusia 40-an pula mengaku menggunakan MyKad milik saudaranya untuk bekerja sejak lebih setahun lalu. Bagaimanapun, dia gagal memberikan maklumat asas mengenai ibu bapanya ketika disoal pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekali gus menimbulkan keraguan terhadap dakwaannya memiliki sijil kelahiran Malaysia.

Semua yang ditahan dibawa untuk siasatan lanjut berhubung kesalahan berkaitan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading