KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan parti itu bukan milik mana-mana individu atau keluarga dan tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan berhubung pemilihan calon pilihan raya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menghormati keputusan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk meninggalkan parti, namun menyifatkan tindakan mengaitkan kononnya Istana campur tangan dalam urusan UMNO Johor sebagai tidak berasas.

Menurutnya, kenyataan sedemikian tidak mencerminkan keadaan sebenar dan wajar dihentikan agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau turut mendakwa terdapat komunikasi sebelum ini yang menunjukkan desakan agar anak kepada bekas pemimpin itu dicalonkan di DUN Rengit, dan memberi amaran bahawa parti tidak boleh membuat keputusan berdasarkan tuntutan individu.

“Hakikatnya, beliau sendiri pernah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti sekiranya kepimpinan UMNO tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon di DUN Rengit. Walaupun anak beliau berpotensi, UMNO mengambil kira pelbagai faktor dalam menentukan calon dan tidak boleh diputuskan atas dasar keluarga atau tekanan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf menegaskan UMNO bukan parti warisan atau milik keluarga tertentu, sebaliknya sebuah parti yang berteraskan perjuangan rakyat, agama dan negara.

“UMNO tidak boleh diugut. Perjuangan parti ini lebih besar daripada kepentingan peribadi atau keluarga,” katanya lagi.

Beliau turut menambah UMNO akan terus kekal teguh sebagai parti berprinsip dan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana individu dalam membuat keputusan penting, termasuk pemilihan calon pilihan raya. -KL Broadcast

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading