KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memulakan siasatan berhubung dakwaan terdapat kesilapan dalam penulisan ayat al-Quran yang terkandung dalam buku Wanita Syurga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan mahu memastikan setiap penerbitan berunsurkan agama melalui proses semakan yang teliti sebelum dipasarkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, penubuhan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia yang sedang diusahakan dijangka mampu memperkemaskan kawalan terhadap bahan bacaan agama serta mengelakkan kesilapan seumpama itu daripada berulang.

“Kita mengalu-alukan penerbitan karya-karya agama yang berkualiti, namun setiap kandungan perlu dipastikan tepat dan sahih, khususnya apabila melibatkan petikan ayat al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di Putrajaya.

Menurut beliau, walaupun penerbit buku berkenaan yang merupakan personaliti media sosial, Aisyah Hijanah membuat permohonan maaf secara terbuka, aspek kawalan dan penelitian terhadap kandungan agama perlu terus diperkukuhkan demi menjaga kesucian al-Quran.

Sebelum ini, Aisyah Hijanah mengumumkan penarikan semula jualan buku Wanita Syurga selepas timbul kontroversi berhubung kesilapan pada petikan ayat al-Quran, selain memohon maaf kepada orang ramai.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia akan dimanfaatkan bagi memperluaskan akses bantuan guaman kepada individu yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pembelaan di Mahkamah Syariah.

Katanya, mereka yang menghadapi kekangan kewangan boleh mendapatkan khidmat nasihat dan representasi melalui Persatuan Peguam Syarie Malaysia agar hak mereka terus terbela mengikut saluran undang-undang.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading