JEMPOL – Kerajaan berhasrat mewujudkan jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan jawatan berkenaan penting bagi memastikan isu serta keperluan masyarakat Orang Asli dapat diselaras dengan lebih berkesan di peringkat pentadbiran negeri.

Menurut beliau, cadangan itu akan dikemukakan kepada menteri besar baharu daripada BN sekiranya gabungan berkenaan berjaya mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.

“Kalau saya nak tawarkan lagi, saya akan minta menteri besar yang baharu daripada Barisan Nasional mesti wujudkan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar.

“Maknanya mudah sahaja, kalau kita satu hati, satu jiwa, semua boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beberapa negeri lain sudah mempunyai pegawai khas yang menguruskan hal ehwal masyarakat Orang Asli di pejabat menteri besar masing-masing.

“Di Pahang, Perak ada pegawai khas Orang Asli di pejabat menteri besar. Di Johor, saya sudah beritahu Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana ramai Orang Asli di Johor.

“Jadi apa susahnya untuk diwujudkan pegawai Orang Asli,” katanya.

Katanya, pegawai khas tersebut berperanan sebagai penghubung antara masyarakat Orang Asli dengan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti keperluan dalam aspek pendidikan, kebajikan dan pembangunan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendakwa masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan tidak mendapat perhatian sewajarnya sejak beberapa tahun lalu.

“Tetapi masalahnya daripada tahun 2018 hingga tahun 2026 ini sudah jadi menteri besar, tak buat, tak tolong orang asli ini pasal apa?

“Bukan saya kata, ini orang asli kata,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memperkasakan masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai inisiatif termasuk pindaan Akta Orang Asli, peningkatan akses pendidikan serta pembangunan infrastruktur.

Katanya, usaha berkenaan bertujuan memastikan masyarakat Orang Asli turut menikmati pembangunan secara menyeluruh selain diberi peluang meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan dan kemudahan asas.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading