SHAH ALAM, 5 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan susulan penularan di media sosial yang mendakwa individu berkenaan memiliki dua pasport membabitkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pasport Bangladesh.
JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan dakwaan tersebut, Jabatan Imigresen Negeri Pahang bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengesan individu terbabit serta mengesahkan kesahihan dakwaan yang tular.
Hasil risikan dan operasi yang dijalankan, sepasukan enam pegawai imigresen menyerbu sebuah kontena di sekitar Jalan Kuantan, Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pada jam 6.30 petang, 4 Julai lalu.
Pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki warga Bangladesh berada di dalam kontena berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut dan penggeledahan menemui dua naskhah Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang masing-masing telah tamat tempoh pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022, selain sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan.
Lelaki terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan bagi membantu siasatan.
Menurut JIM, siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA serta Buku Perkhidmatan Pelaut yang ditemui, selain menyiasat semua aspek berkaitan kes berkenaan.


Leave a Reply