KUALA LUMPUR – Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi mengakibatkan laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan perumahan Vista Angkasa Kerinchi dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti ditenggelami air.
Menerusi perkongsian di Threads oleh pengguna Littlepao.oo, air yang melimpah memenuhi keseluruhan laluan berkenaan susulan hujan lebat berterusan, sekali gus menyukarkan orang ramai untuk melaluinya.
“Laluan dekat sini memang dari dulu bermasalah kalau hujan lebat,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Di ruangan komen, ramai pengguna berkongsi pengalaman berdepan situasi sama dan menyatakan rasa kecewa kerana keadaan itu mengganggu perjalanan mereka untuk pulang ke rumah.
“Terpaksa redah nak masuk Vista dan kaki aku gatal-gatal kena air tu sebab banyak sampah dan daun-daun naik,” kata pengguna Felixkhor.
Sementara itu, pengguna Fiqa_mohd06 berkata dia terpaksa mengorbankan kasut kesayangannya demi meredah laluan berkenaan.
“Terpaksa korbankan kasut kesayangan saya sebab nak meredah laluan ni. Dah lah ini satu-satunya laluan berbumbung untuk balik rumah,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pengguna turut menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengambil tindakan segera kerana masalah limpahan air di laluan tersebut didakwa sering berulang setiap kali hujan lebat.
“Kena buat aduan dekat DBKL sepatutnya ni. Sebab laluan ni memang bermasalah naik air macam tu setiap kali hujan lebat. Sangat menyusahkan dan keselamatan orang ramai pun tak terjamin,” ujar Safrizal82.


Leave a Reply