SERDANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mempercepatkan proses penyaluran tambahan RM1 bilion dana mikrokredit bagi memastikan kemudahan pembiayaan itu dapat dimanfaatkan segera oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian memberi keutamaan kepada usaha tersebut supaya peruntukan yang diumumkan kerajaan dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata, tambahan berkenaan menjadikan keseluruhan peruntukan dana mikrokredit bagi tahun ini meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Menurutnya, kemudahan mikrokredit penting kerana ia menyediakan akses pembiayaan yang lebih sesuai kepada peniaga mikro dan kecil, termasuk dari segi syarat serta proses permohonan yang lebih mudah.
“Kita berusaha mempercepatkan proses supaya wang atau sumber yang telah dijanjikan itu dapat disalurkan,” katanya selepas merasmikan Laman HPMKUSKOP@MAHA 2026 pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tambahan RM1 bilion kemudahan pembiayaan mikro bagi membantu peniaga kecil yang berdepan tekanan kos serta memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan.
Steven berkata, dana tambahan itu akan disalurkan menerusi tiga agensi di bawah KUSKOP, iaitu Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional.
Katanya, kementerian akan memastikan proses pengagihan dilaksanakan dengan lancar supaya bantuan pembiayaan berkenaan dapat dinikmati segera oleh golongan yang memerlukan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata peruntukan geran RM200 juta bagi pembelian peralatan serta RM200 juta untuk pembelian barangan perniagaan turut memberi manfaat kepada peniaga kecil dan penjaja.
Beliau berkata, peningkatan kuota RON95 dan diesel yang diumumkan kerajaan juga dijangka membantu mengurangkan tekanan kos operasi peniaga yang banyak bergantung kepada kenderaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
Sementara itu, Steven berkata keputusan menaikkan nilai ambang e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta turut memberikan kelegaan kepada PMKS.
Berdasarkan data Kementerian Kewangan (MOF), katanya, perubahan nilai ambang itu dijangka memberi manfaat kepada lebih satu juta syarikat dalam kategori PMKS. -KL Broadcast


Leave a Reply