KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 554 individu menerusi 422 serbuan dalam Op Soga XI yang dijalankan bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Operasi yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai itu turut menyaksikan rampasan wang tunai berjumlah RM167,062.09 serta nilai pertaruhan yang dianggarkan melebihi RM3.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 508 lelaki dan 46 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

Beliau berkata, daripada keseluruhan tangkapan itu, 341 merupakan warga tempatan manakala 213 lagi adalah warga asing.

“Sepanjang operasi, sebanyak 263 platform dalam talian termasuk laman web, aplikasi, media sosial dan platform digital dikenal pasti digunakan untuk menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan perjudian.

“Sehubungan itu, tindakan menyekat akses ke laman web dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan beberapa agensi berkaitan, khususnya MCMC, bagi memantau aktiviti promosi dan pengiklanan perjudian menerusi platform digital.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Antara kesalahan yang disiasat termasuk bertaruh di rumah pertaruhan terbuka, menjadi pengutip pertaruhan, mengendalikan premis yang digunakan sebagai rumah pertaruhan serta mengiklankan atau mempromosikan aktiviti perjudian.

Bagi warga asing pula, siasatan melibatkan kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

“PDRM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di samping memperkukuhkan kerjasama dengan agensi berkaitan. Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan perjudian haram,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading