KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri meletakkan pengurusan pekerja asing melalui Pusat Sehenti (OSC) sepenuhnya di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), berkuat kuasa 6 Julai 2026.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok dalam satu kenyataan media hari ini berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan KESUMA dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan reformasi itu berjalan lancar serta menyokong pembangunan sektor pembuatan negara.
FMM memaklumkan semua permohonan kuota pekerja asing kini perlu dibuat melalui modul eQuota dalam Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS), manakala pemprosesan manual mengikut kes dihentikan.
Menurut FMM, langkah itu akan mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat proses permohonan dan mewujudkan sistem pengurusan pekerja asing yang lebih telus, khususnya bagi membantu sektor pembuatan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).
FMM turut menyokong pelaksanaan sistem digital bersepadu yang membolehkan permohonan, semakan status, perkongsian data antara agensi serta pemprosesan dibuat menerusi satu platform.
Dalam masa sama, FMM menggesa kerajaan segera melaksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) bagi menggantikan sistem kuota sedia ada. Menurutnya, mekanisme itu membolehkan pengambilan pekerja asing dibuat berdasarkan keperluan sebenar industri, di samping menggalakkan automasi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berperingkat.
FMM turut mencadangkan MTLM diintegrasikan ke dalam sistem eQuota, selain menawarkan kadar levi lebih rendah kepada syarikat yang mempunyai pergantungan rendah terhadap pekerja asing dan kadar lebih tinggi kepada syarikat yang bergantung secara berlebihan.


Leave a Reply