VANCOUVER – Switzerland melakar sejarah tersendiri apabila menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 1954 selepas menewaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi dramatik pusingan 16 terbaik di Stadium BC Place, awal pagi tadi.
Kejayaan penuh bermakna itu turut menyaksikan skuad kendalian Murat Yakin mencatat kemenangan kedua berturut-turut di peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di pentas Piala Dunia, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan juara bertahan, Argentina, di peringkat suku akhir.
Selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 120 minit permainan, penentuan sepakan penalti menjadi pemisah. Colombia menerima tamparan hebat apabila Davinson Sanchez gagal menyempurnakan sepakannya selepas bola terkena palang, sebelum penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel, muncul wira apabila menafikan percubaan Cucho Hernandez.
Ruben Vargas kemudian memastikan kemenangan Switzerland apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir, sekali gus mengakhiri saingan Colombia yang sekali lagi dikecewakan menerusi penentuan sepakan penalti.
Colombia sebenarnya berpeluang menamatkan perlawanan lebih awal pada masa tambahan, namun tandukan Jhon Lucumi hanya menggegar palang. Jaminton Campaz turut mensia-siakan peluang keemasan apabila gagal menewaskan Kobel dalam situasi satu lawan satu.
Walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Johan Manzambi yang dibelenggu kecederaan, selain Luca Jaquez dan Michel Aebischer, Switzerland tetap mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi serta organisasi permainan yang mantap bagi menyekat setiap percubaan Colombia.
Colombia pula beraksi tanpa penyerang berbisa, Jhon Cordoba, yang mengalami kecederaan pada aksi pusingan sebelumnya. Bagaimanapun, skuad Amerika Selatan itu tetap memberikan tentangan sengit dengan Gustavo Puerta hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh, namun berjaya ditepis cemerlang oleh Kobel.
Kemenangan bersejarah ini menamatkan penantian Switzerland untuk kembali beraksi di suku akhir Piala Dunia sejak 1954, manakala Colombia sekali lagi terpaksa menelan kekecewaan apabila impian mereka musnah menerusi penentuan sepakan penalti.


Leave a Reply