WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan melancarkan beberapa siri serangan terhadap sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan Tehran ke atas tiga kapal dagang yang melalui Selat Hormuz.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, Pemerintah Pusat Tentera AS (CENTCOM) memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan sebagai respons terhadap insiden yang didakwa menyasarkan kapal-kapal perdagangan di laluan perairan antarabangsa itu.

Menurut CENTCOM, tindakan Iran disifatkan sebagai ancaman terhadap keselamatan maritim serta melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.

“Kami akan terus mengambil tindakan yang perlu bagi mempertahankan kebebasan pelayaran serta melindungi kepentingan AS dan rakan sekutu di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Pengumuman tersebut dibuat ketika ketegangan di Selat Hormuz semakin memuncak susulan laporan beberapa kapal dagang diserang dalam tempoh 24 jam, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan salah satu laluan perdagangan minyak dan perkapalan paling penting di dunia.

Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan terhadap kapal dagang itu mahupun operasi ketenteraan terbaharu yang diumumkan oleh Washington.

Situasi itu dijangka terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa berikutan kebimbangan konflik di rantau Asia Barat berpotensi menjejaskan kestabilan keselamatan serta perdagangan global. -Agensi

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading