JOHOR BAHRU – Pas Johor menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai isyarat jelas bahawa majoriti pengundi di negeri ini menolak Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pas Johor berkata keputusan pilihan raya itu mencerminkan hak rakyat Johor menggunakan proses demokrasi bagi menentukan kerajaan negeri yang akan mentadbir untuk penggal akan datang.

Menurut kenyataan itu, keputusan PRN kali ini juga dianggap selari dengan seruan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mahu kepimpinan kerajaan negeri terus diterajui oleh orang Melayu beragama Islam.

“Pas Johor menerima keputusan PRN Johor ke-16 dengan hati yang terbuka.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas kejayaan memperoleh majoriti kerusi yang membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri,” menurut kenyataan berkenaan.

Pada masa sama, Pas Johor merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, ahli, petugas, jentera pilihan raya, penyokong serta pengundi Perikatan Nasional (PN)-Pas yang bertungkus-lumus sepanjang kempen, termasuk pasukan dari Johor, negeri-negeri lain dan Pas Pusat.

Katanya, Pas bersama PN akan terus memperkukuhkan organisasi parti dan meneruskan perjuangan demi kepentingan agama, bangsa serta kebajikan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Berdasarkan keputusan rasmi PRN Johor ke-16, Pas yang bertanding menggunakan logo PN tewas di kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dan gagal mempertahankan sebarang kerusi.

PN secara keseluruhan turut gagal memenangi mana-mana daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor kali ini.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading