KUALA TERENGGANU – Program permotoran RXZ Members 8.0 yang dijadual berlangsung pada 31 Julai dan 1 Ogos ini dijangka mencatat penurunan kehadiran sekitar 10 peratus susulan tarikh penganjurannya bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganjur RXZ Members 8.0, Lukhman Hassan berkata, situasi tersebut tidak dapat dielakkan kerana jadual program telah ditetapkan lebih awal, namun beliau menjangkakan sebahagian besar peminat Yamaha RXZ dari Negeri Sembilan akan memilih untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurutnya, peserta dari negeri itu disaran mengutamakan proses pengundian pada 1 Ogos sebelum memikirkan untuk menyertai acara berkenaan.
“Pengundi dari Negeri Sembilan perlu mendahulukan tanggungjawab mereka pada hari mengundi. Kami memahami keadaan itu dan berharap mereka dapat kembali menyertai RXZ Members pada penganjuran akan datang,” katanya selepas menghadiri taklimat persediaan RXZ Members di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Taklimat tersebut dipengerusikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin.
Dalam pada itu, Lukhman berkata, pihak penganjur masih optimis sasaran kehadiran sekitar 120,000 pengunjung mampu dicapai meskipun berlaku pertindihan dengan PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan sambutan luar biasa yang diterima daripada komuniti peminat Yamaha RXZ di seluruh negara pada penganjuran sebelum ini.


Leave a Reply