MELAKA – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menyaksikan perubahan ketara apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP secara rasmi mengambil tempat di blok pembangkang, susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) Melaka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diumumkan semalam.
Empat ADUN berkenaan ialah wakil Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh yang dilihat duduk bersama barisan pembangkang sepanjang persidangan berlangsung.
Namun, situasi berbeza melibatkan ADUN Bukit Katil daripada Amanah, Adly Zahari, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka. Beliau kekal berada di blok kerajaan dengan mengambil tempat di hujung barisan ADUN kerajaan.
Pemerhatian di dalam dewan turut mendapati terdapat satu kerusi kosong di sebelah Adly, manakala di sebelah kerusi tersebut bermulanya tempat duduk empat ADUN DAP yang kini berada di blok pembangkang.
Susunan baharu itu mencuri perhatian kerana dilihat mencerminkan perkembangan politik terkini di Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendirian Adly selepas PH Melaka mengumumkan penarikan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam ucapannya, Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum, mengingatkan semua ADUN supaya menghadiri persidangan dengan penuh disiplin, berhemah, bersopan serta mematuhi segala peraturan dewan.
“Walaupun kedudukan sebahagian daripada ahli-ahli Dewan Undangan telah pun diubah, saya berharap semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan tertib,” katanya.
Semalam, PH Melaka mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.
Susulan keputusan itu, wakil PH yang terdiri daripada empat ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran negeri, termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta pelbagai lantikan berkaitan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon agar DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi keutamaan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.


Leave a Reply