KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak bagi mengesan serta membawanya pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan itu dikemukakan pada 8 Jun lalu selepas PDRM terlebih dahulu memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha menjejaki keberadaannya.
Menurut beliau, semakan bersama Jabatan Imigresen mendapati Tamim Dahri dipercayai masih berada di luar negara.
“PDRM telah memohon pembatalan pasport suspek sebelum mengemukakan permohonan Notis Merah kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi tujuan mengesan dan membawanya pulang ke Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang meminta penjelasan mengenai tindakan PDRM dalam usaha mengesan Tamim Dahri.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Langkawi dimaklumkan bahawa Tamim Dahri dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi selepas dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam menuju Thailand pada 9 Mac.
Pada 17 Mei lalu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.


Leave a Reply