KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan Pelan Strategik dan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2026-2030 sebagai hala tuju baharu kementerian bagi memperkukuh perpaduan nasional serta mempercepatkan transformasi digital dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Pelan Strategik KPN 2026-2030 merupakan kesinambungan kepada pelan bagi tempoh 2021 hingga 2025 dan akan menjadi dokumen rujukan utama dalam merangka dasar serta strategi kementerian.
Menurut beliau, pelan berkenaan digubal berteraskan usaha memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh integrasi sosial dan memelihara warisan negara sebagai asas pembinaan negara bangsa.
Katanya, pelan itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu patriotisme dan demokrasi, pembinaan negara bangsa, ekosistem perpaduan, transformasi digital perpaduan serta tadbir urus organisasi dan komunikasi.
Pelan berkenaan merangkumi 12 strategi dan 33 inisiatif yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh 2026 hingga 2030 selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Aaron berkata, antara pembaharuan yang diperkenalkan ialah Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) bagi memantau keberkesanan pelaksanaan setiap strategi dan inisiatif serta memastikan setiap tindakan memberi impak kepada agenda pembinaan negara bangsa.
Pada masa sama, beliau berkata, PSP 2026-2030 turut dilancarkan bagi memperkukuh agenda pendigitalan kementerian menerusi pelaksanaan pelbagai program dan projek berasaskan teknologi semasa.
Menurutnya, pelan itu memberi fokus kepada pemerkasaan penyampaian perkhidmatan digital, pengukuhan infrastruktur digital yang selamat serta peningkatan tadbir urus digital dan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
PSP 2026-2030 merangkumi tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram yang akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh lima tahun.
Dalam perkembangan sama, Aaron berkata kerajaan turut memperuntukkan RM5 juta menerusi Geran Padanan Muzium (GPM) 2026 bagi memperkasa sektor permuziuman dan warisan negara.
Katanya, geran itu akan digunakan untuk projek pembangunan dan penaiktarafan muzium, termasuk pemodenan serta pendigitalan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Leave a Reply