JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang remaja perempuan etnik Rohingya berusia 19 tahun selepas dipercayai melahirkan bayi di sebuah hotel di Bukit Indah sebelum membuang mayat bayi itu ke lorong belakang bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, siasatan mendapati mayat bayi yang ditemui dalam bungkusan plastik hitam berhampiran Taman Nusa Idaman pada 5 Julai lalu merupakan anak kandung suspek.
Menurut beliau, bayi itu dipercayai dilahirkan di dalam tandas sebuah bilik hotel sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik dan dicampakkan keluar melalui tingkap bilik yang terletak di tingkat dua.
“Hasil siasatan mendapati bayi tersebut adalah hasil hubungan suspek dengan bekas teman lelakinya. Selepas melahirkan bayi itu, suspek memasukkannya ke dalam plastik hitam sebelum membuangnya ke lorong di belakang hotel,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi berkenaan kira-kira jam 2.39 pagi pada 5 Julai lalu.
Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menjalankan operasi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan mayat bayi, manakala remaja terbabit ditahan di sebuah hotel di Bukit Indah sekitar jam 4 pagi pada hari sama.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua individu terbabit bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Semakan rekod turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala remaja terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Menurut Kumarasan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang kemudian mengarahkan remaja perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh.
Beliau berkata, lelaki yang ditahan pula akan dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.
Remaja itu dijadualkan didakwa di Mahkamah Johor Bahru pada Jumaat.
Dalam pada itu, Kumarasan mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang ketika berdepan sebarang masalah, selain menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi membantu siasatan.


Leave a Reply