SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual turun padang berkempen di Negeri Sembilan hari ini dalam usaha memperhebat momentum Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
Memasuki hari kelima tempoh kempen hari ini, kehadiran Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri menyertai kempen dijangka menjadi antara tumpuan utama gabungan berkenaan dalam usaha mempertahan pentadbiran negeri diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar yang juga Presiden PKR dijadual menghadiri empat program, masing-masing di kawasan Ampangan, Paroi, Sikamat dan Senawang, merangkumi sesi bersama masyarakat, belia serta ceramah perdana gabungan berkenaan.
Beliau akan memulakan siri program pada jam 4 petang menerusi Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan sebelum Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (KOMBES), Paroi, pada 5 petang.
Sebelah malam, Anwar dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sebelum menyertai ceramah perdana Pakatan Harapan DUN Paroi di Pusat Bandar Senawang.
Langkah turun padang Anwar hari ini dijangka memperkukuh lagi mesej kempen PH berhubung tawaran manifesto yang dilancarkan Isnin lalu, mengandungi 10 komitmen utama dalam menjadikan Negeri Sembilan negeri termaju yang inklusif.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN yang menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Parti Amanah Negara (AMANAH).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.


Leave a Reply