KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan akan menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, persaraan itu menandakan berakhirnya satu perjalanan panjang dalam kerjaya kepolisan yang penuh cabaran dan pengalaman, selain berhasrat meluangkan lebih banyak masa untuk berehat selepas meninggalkan pasukan.
“Insya-Allah, Ahad ini merupakan hari terakhir saya dalam pasukan selepas hampir 35 tahun berkhidmat bersama PDRM,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku biografinya, Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti, di Kuala Lumpur Golf & Country Club, hari ini.
Sepanjang kerjayanya, Ayob Khan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
Mengulas mengenai perancangannya selepas bersara, beliau secara berseloroh berkata mungkin akan mencuba bidang perniagaan dengan membuka restoran mamak.
“Lepas ini mungkin orang akan nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya sambil bergurau.
Menurut beliau, terdapat beberapa tawaran yang diterima menjelang persaraannya, namun masih belum membuat sebarang keputusan kerana mahu menikmati tempoh rehat terlebih dahulu.
“Ada beberapa tawaran, tetapi saya belum membuat keputusan. Insya-Allah, saya mahu berehat dahulu.
“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci, termasuk berkongsi pengalaman dan operasi yang pernah saya sertai sepanjang berkhidmat untuk tatapan masyarakat,” katanya.


Leave a Reply