KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi figura apabila pelakon era 2000-an, Lydia Ibtisam, dilaporkan meninggal dunia pada Khamis selepas beberapa jam berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi penyakit autoimun.
Allahyarham yang berusia 46 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 petang di sebuah hospital pakar di ibu negara.
Berita pemergian pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri popular Impian Ilyana itu disahkan oleh rakan baiknya yang juga pelakon, Mimi Ernida menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
“Assalamualaikum… Nur Ibtisam binti Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.
Penyanyi Elliza Razak turut mengesahkan berita duka itu sambil mengajak orang ramai mendoakan Allahyarham serta menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat rohnya.
Sebelum ini, Elliza memaklumkan keadaan Lydia semakin kritikal sehingga memerlukan pembedahan segera selepas penyakit autoimun yang dihidapinya sejak lapan tahun lalu menjadi semakin agresif.
Difahamkan, komplikasi penyakit tersebut telah menjejaskan fungsi buah pinggang selain menyebabkan jangkitan kuman serta serangan virus pada bahagian perut, paru-paru dan aliran darah.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di George Town, Pulau Pinang untuk disolatkan di Masjid Jamek Hashim Yahya sebelum dikebumikan.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri hiburan, Allahyarham dikenang menerusi lakonan dalam beberapa drama popular seperti Impian Ilyana, Dunia Anita, Realiti dan Natasha.
Allahyarham meninggalkan suami, Ezam Merican, serta dua orang cahaya mata.


Leave a Reply