SERDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang memusnahkan sebahagian Pasar Borong Selangor di sini pada Khamis lalu, termasuk sama ada berpunca daripada unsur khianat atau kecuaian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, siasatan terperinci akan dimulakan oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat JBPM Selangor selepas premis berkenaan diserahkan kepada pasukan penyiasat.
Menurutnya, penilaian awal oleh pegawai penyiasat bersama Unit Anjing Pengesan (K9) telah dijalankan pada petang kelmarin.
“Bagaimanapun, keadaan di lokasi yang masih berbahang dan mempunyai kawasan panas menyebabkan anjing K9 tidak dapat memasuki beberapa bahagian untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja mengalihkan runtuhan serta sisa kebakaran selesai dilaksanakan kira-kira jam 5 petang semalam sebelum operasi di lokasi ditamatkan.
Sebelum ini, JBPM menggunakan jengkaut bagi mengalihkan runtuhan susulan terdapat maklumat mengenai kemungkinan masih ada penghuni berada di dalam bangunan ketika kejadian.
Bagaimanapun, pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada mangsa ditemukan terperangkap atau tertimbus di kawasan kebakaran.
Kebakaran besar itu dilaporkan bermula kira-kira jam 10.50 malam Khamis lalu, dipercayai dari sebuah kedai barangan logam sebelum api merebak dengan pantas ke premis berhampiran akibat tiupan angin.
Pasukan bomba turut bertungkus-lumus mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan surau yang terletak dalam kawasan pasar berkenaan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Leave a Reply