KUALA LUMPUR – Orang ramai yang meminati dunia sukan permotoran kini berpeluang merasai sendiri pengalaman di belakang tabir perlumbaan Formula 1 (F1) apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuka permohonan sukarelawan bagi Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain 2026.
Pendaftaran dibuka kepada individu yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawan sepanjang perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.
Menerusi maklumat yang dikongsikan SIC, sukarelawan yang berjaya akan menerima elaun sebanyak RM60 sehari selain menikmati kemudahan makanan sepanjang tempoh bertugas pada hujung minggu perlumbaan.
Waktu bertugas pula akan ditentukan mengikut tugasan yang diberikan serta keperluan operasi penganjur sepanjang acara berlangsung.
Bagi memohon, calon perlu melengkapkan maklumat peribadi termasuk alamat kediaman dan, jika berkaitan, pengalaman terdahulu sebagai sukarelawan di SIC.
Sebelum ini, Formula 1 bersama Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Perlumbaan tersebut dijangka menjadi antara acara sukan permotoran terbesar di negara ini dan bakal menghimpunkan ribuan peminat serta pasukan Formula 1 dari seluruh dunia.


Leave a Reply