KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran bahawa tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana warga asing, termasuk etnik Rohingya, yang berhimpun secara tidak terkawal sehingga menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap individu perlu mematuhi undang-undang negara dan tidak boleh sesuka hati menjadikan mana-mana kawasan awam sebagai lokasi penempatan atau perhimpunan tanpa kebenaran.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan telah diarahkan supaya melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Negara ini mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi. Tiada mana-mana pihak boleh bertindak mengikut kehendak sendiri sehingga mengganggu ketenteraman awam atau lalu lintas.

“Saya sudah mengarahkan Imigresen, polis dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan sewajarnya. Mereka yang tidak mempunyai permit atau dokumen sah akan dibawa ke Jabatan Imigresen, manakala pemegang dokumen akan diberikan amaran. Jika masih ingkar, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan semua agensi penguat kuasa supaya menjalankan operasi secara berhemah dengan mengambil kira aspek kemanusiaan, terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Terdahulu, ratusan pelarian Rohingya dilaporkan berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling.

Kumpulan berkenaan dipercayai tiba di Kuala Lumpur dengan menaiki tiga buah bas selepas meninggalkan penempatan mereka di Pulau Pinang, susulan dakwaan diarahkan keluar dari kawasan tersebut oleh penduduk tempatan.

Kehadiran mereka di hadapan pejabat UNHCR mengundang perhatian ramai apabila sebahagian daripada mereka mendirikan khemah sementara di kawasan berkenaan sebelum polis ditempatkan bagi memantau keadaan dan memastikan keselamatan awam terus terpelihara.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.