KUALA LUMPUR – Ratusan pelarian Rohingya dilihat berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini hari ini selepas dipercayai meninggalkan penempatan mereka di Pulau Pinang.

Difahamkan, kumpulan terbabit tiba di ibu negara seawal pagi dengan menaiki tiga buah bas yang disewa sendiri susulan dakwaan mereka diminta meninggalkan kawasan penempatan di Penaga, Pulau Pinang.

Tinjauan di lokasi mendapati sebahagian daripada mereka mendirikan khemah sementara di hadapan bangunan UNHCR, manakala kanak-kanak turut dilihat berada di sekitar kawasan berkenaan.

Beberapa pegawai dan anggota polis turut ditempatkan di lokasi bagi memastikan keadaan kekal terkawal serta menjaga ketenteraman awam.

Seorang pelarian Rohingya yang hanya mahu dikenali sebagai Rizuan, 28, mendakwa dia bersama keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka kerana bimbang terhadap keselamatan selepas didakwa menerima tekanan daripada penduduk tempatan.

Menurutnya, mereka tidak diberi tempoh yang lama untuk berpindah sehingga banyak barangan peribadi terpaksa ditinggalkan.

“Saya sudah tinggal di Pulau Pinang selama 14 tahun dan sebelum ini tiada masalah. Saya pun tidak pasti mengapa keadaan berubah. Mungkin disebabkan tindakan segelintir individu menyebabkan semua kami menerima kesannya,” katanya.

Rizuan berkata, buat masa ini mereka sekeluarga masih menunggu sebarang bantuan atau penempatan baharu daripada UNHCR, lebih-lebih lagi isterinya kini sedang hamil.

Seorang lagi pelarian yang dikenali sebagai Ahmad, dalam lingkungan usia 40-an, turut mendakwa tidak mengetahui punca mereka diminta meninggalkan kawasan berkenaan selepas bertahun-tahun menetap di situ.

Katanya, mereka memilih untuk berpindah tanpa sebarang bantahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan beberapa buah bas dipercayai membawa pelarian Rohingya keluar dari sebuah penempatan di Penaga, Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan kehadiran polis di hadapan pejabat UNHCR hanyalah bagi tujuan kawalan keselamatan dan memastikan keadaan awam sentiasa terkawal.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading