KUALA LUMPUR – Penyanyi Amira Othman menegaskan beliau dan suaminya, pelakon Fattah Amin, tidak akan menarik balik laporan yang dibuat terhadap akaun media sosial ‘Musang Berjanggut’ yang didakwa menyebarkan pelbagai fitnah mengenai mereka.
Amira berkata, dakwaan kononnya mereka sudah menghentikan tindakan adalah tidak benar kerana usaha mendapatkan keadilan masih diteruskan.
Menurutnya, beberapa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi membincangkan isu berkenaan.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap budaya buli siber yang disifatkan semakin membimbangkan kerana individu di sebalik akaun palsu dilihat semakin berani menyebarkan fitnah tanpa rasa takut.
Katanya, keadaan itu boleh memberi kesan buruk kepada emosi dan kesihatan mental mangsa sekiranya tidak ditangani secara serius.
Justeru, Amira menegaskan beliau dan Fattah akan meneruskan laporan sehingga identiti individu di sebalik akaun ‘Musang Berjanggut’ berjaya dikenal pasti.
Sebelum ini, Fattah Amin mendakwa akaun berkenaan sering memuat naik pelbagai dakwaan serta naratif yang tidak berasas berkaitan kehidupan peribadi mereka.


Leave a Reply