JELEBU – Seramai 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia akan dihantar pulang ke Myanmar selepas negara itu bersetuju menerima mereka hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi hubungan baik Malaysia dengan Myanmar, selain usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu pelarian secara berperingkat.

Menurut beliau, Myanmar turut bersetuju menerima kira-kira 300,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Bangladesh.

Anwar berkata, kerajaan kekal berpendirian tegas dalam menangani isu pelarian bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat Malaysia terus terpelihara.

Beliau turut mendedahkan telah mengarahkan Ketua Polis Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana pelarian Rohingya yang mengganggu lalu lintas atau kawasan awam.

“Tidak boleh mana-mana pihak mengganggu keamanan di negara ini. Malaysia mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu mematuhinya,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama PMX di DUN Chennah, Simpang Durian, di sini pada Rabu.

Anwar menjelaskan, proses penghantaran pulang pelarian bergantung kepada kesediaan negara asal untuk menerima mereka semula. Sementara itu, pelarian yang masih berada di Malaysia diingatkan supaya mematuhi undang-undang serta tidak mengganggu kehidupan masyarakat tempatan.

Beliau menegaskan tindakan kerajaan bukan bertujuan memusuhi mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kepentingan, keselamatan dan keharmonian rakyat Malaysia sentiasa diutamakan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading