YAN – Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari berakhir apabila kenderaan dipandunya terbabit dalam satu lagi kemalangan di persimpangan lampu isyarat Guar Chempedak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, suspek berusia 51 tahun yang memandu sebuah Perodua Viva dipercayai merempuh sebuah lori selepas dikejar oleh beberapa orang awam menggunakan lima buah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihak polis mengesan satu rakaman video tular berdurasi 23 saat yang memaparkan kemalangan melibatkan Perodua Viva dan sebuah lori.

Menurut beliau, video tersebut turut menunjukkan beberapa orang awam menarik keluar pemandu Perodua Viva sambil mendakwa lelaki berkenaan cuba melarikan diri selepas dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Kampung Titi Batu, Dulang Kecil, Yan.

“Polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menahan semula suspek selepas dia mengaku memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek mengalami kecederaan pada bahagian mulut dan mendakwa kecederaan tersebut berpunca daripada dipukul oleh orang awam yang mengejar serta menahannya.

Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Siasatan lanjut turut mendapati lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kes kini dalam siasatan lanjut pihak polis bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian termasuk insiden langgar lari yang didakwa berlaku sebelum kemalangan kedua tersebut.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading