KUALA LUMPUR – Alkhair Malaysia menggesa agar sebarang usaha menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar hanya dilaksanakan selepas wujud jaminan keselamatan yang jelas, pengiktirafan hak kewarganegaraan serta proses pemulangan dibuat secara sukarela dan bermaruah.
Pengerusinya, Azfar Abdullah berkata, komuniti Rohingya tidak menolak untuk kembali ke tanah air mereka, namun keadaan semasa di Myanmar masih belum menjamin keselamatan serta perlindungan hak asasi golongan itu, memetik laporan Malaysia Gazette.
Menurut beliau, proses penghantaran pulang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau paksaan, sebaliknya perlu mematuhi prinsip kemanusiaan antarabangsa dengan kerjasama kerajaan Myanmar, komuniti antarabangsa serta agensi berkaitan seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Alkhair Malaysia berharap masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar supaya mewujudkan persekitaran yang selamat, menghentikan diskriminasi serta mengiktiraf hak kewarganegaraan etnik Rohingya sebelum sebarang proses pemulangan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa kerajaan memperjelaskan kepada rakyat mengenai dasar dan mekanisme pengurusan pelarian bagi mengelakkan salah faham serta sentimen kebencian yang semakin meningkat terhadap golongan berkenaan.
Selain itu, katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuba mengambil kesempatan daripada isu pelarian untuk kepentingan tertentu.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasikan dan membuat tapisan terhadap kira-kira 5,000 pelarian Rohingya di Malaysia sebagai persediaan bagi proses penghantaran pulang ke Myanmar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, langkah itu diambil susulan persetujuan kerajaan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia.


Leave a Reply