SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan prestasi hambar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Negeri Sembilan apabila masih belum berjaya menguasai mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 8.30 malam.
Bertanding secara bersendirian di 24 kerusi DUN, kebanyakan calon Bersatu dilihat gagal memberi saingan apabila ketinggalan dengan jurang undi yang besar di hampir semua kawasan.
Malah, Bersatu turut berada di ambang kehilangan dua kerusi yang pernah dimenanginya pada PRN lalu, iaitu Gemas dan Labu.
Di DUN Gemas, calon Parti Wawasan yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Ridzuan Ahmad, mendahului dengan 13,449 undi, manakala calon Bersatu, Azman Abdullah, hanya memperoleh 880 undi.
Di DUN Labu pula, calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hasim, berada di hadapan dengan 8,023 undi, sementara calon Bersatu, Anip Abu Baker, meraih 1,194 undi.
Keadaan sama turut berlaku di beberapa kerusi lain apabila calon Bersatu terus tercicir. Mohd Zuhaimi Md Yusof memperoleh 506 undi di Juasseh, Datuk Zamri Md Said (Linggi) 344 undi, Mazrulhisham Abd Mansor (Sungai Lui) 317 undi, Adib Musa (Klawang) 83 undi dan Affendy Salleh (Serting) 115 undi.
Turut menerima tamparan ialah Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang bertanding di DUN Sikamat. Beliau sekadar meraih 442 undi dan jauh di belakang calon PN, Datuk Razali Abu Samah yang memperoleh 11,789 undi serta calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad yang mengumpul 9,177 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Prestasi semasa itu menggambarkan cabaran besar yang dihadapi Bersatu untuk mengekalkan pengaruhnya di Negeri Sembilan pada PRN kali ini.


Leave a Reply