KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Kebangsaan Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook supaya memberi penjelasan berhubung keberkesanan sistem kawal selia penerbangan susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia yang didakwa cuba menyeludup kira-kira 26 kilogram dadah.
Menurut beliau, walaupun kes berkenaan masih dalam siasatan dan melibatkan tindakan individu, insiden itu tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil kerana ia turut membangkitkan persoalan mengenai tahap pemantauan terhadap kru penerbangan negara.
Katanya, kejadian itu bukan sahaja menjejaskan reputasi Malaysia di mata antarabangsa, malah boleh menghakis keyakinan orang ramai terhadap standard keselamatan industri penerbangan tempatan.
Mike Chong berkata, masyarakat berhak mengetahui sama ada prosedur saringan, pemeriksaan kesihatan serta pematuhan terhadap peraturan sedia ada benar-benar mencukupi bagi mengesan sebarang salah laku dalam kalangan kru penerbangan.
“Kes ini membuka ruang kepada persoalan sama ada mekanisme pemantauan dan pengawasan yang diamalkan ketika ini benar-benar berkesan dalam mencegah individu yang memikul tanggungjawab besar terhadap keselamatan penumpang daripada terbabit dalam jenayah serius,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau turut merujuk laporan yang mendakwa juruterbang terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine, MDMA dan kokain, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan protokol saringan dadah yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya, sekiranya laporan itu benar, Kementerian Pengangkutan perlu menjelaskan sama ada pemeriksaan dadah dilakukan secara berkala, sejauh mana keberkesanannya serta sama ada terdapat kelemahan dalam sistem sehingga perkara berkenaan gagal dikesan lebih awal.
Tambah beliau, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai kesalahan individu semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk menilai dan memperkukuh sistem kawal selia penerbangan demi memastikan keselamatan penumpang serta kepercayaan orang ramai terhadap industri itu terus terpelihara.


Leave a Reply