JITRA – Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam sejak 20 Julai lalu mempunyai kaitan dengan masalah hutang, termasuk dakwaan membabitkan permainan kutu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya sedang meneliti semua sudut siasatan selepas menerima satu laporan polis yang dibuat terhadap individu yang dilaporkan hilang.
Menurut beliau, antara aspek yang sedang disiasat ialah kemungkinan kehilangan mereka berkait dengan isu hutang, namun siasatan masih di peringkat awal dan tiada sebarang kesimpulan dibuat setakat ini.
“Kes masih disiasat sebagai Orang Hilang dan polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Kita turut menyiasat pelbagai kemungkinan, termasuk sama ada mereka menjadi mangsa jenayah atau terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Sebelum ini, seorang warga emas membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas mendakwa gagal menghubungi anak perempuan, menantu serta cucunya sejak 20 Julai lalu.
Mereka yang dilaporkan hilang ialah Khairul Azhar Ahmad, 39, isterinya Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, dan anak lelaki mereka, Adid Khairul Azhar, 9, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Felda Batu 8, Changlun.
Mohd Radzi berkata, sehingga kini usaha mengesan ketiga-tiga mereka masih belum membuahkan hasil, manakala semakan pihak polis mendapati tiada rekod menunjukkan mereka meninggalkan negara.


Leave a Reply