AMPANG JAYA – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan etnik Rohingya berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Putra, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kehilangan Sumaiya Khatun Shokut Ullah, 12, hanya disedari keluarganya kira-kira jam 10 pagi pada 7 Ogos lalu.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berkaitan kehilangan remaja itu pada jam 8.51 malam, Sabtu.
“Remaja berkenaan sebelum itu keluar dari rumah untuk membuang sampah di kawasan Jalan 26, Taman Putra, namun tidak kembali ke kediaman.
“Usaha mengesan mangsa sedang dijalankan dan lokasi terakhir dia dipercayai berada adalah di Jalan 26, Taman Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, Sumaiya mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter dengan berat 55 kilogram, berkulit coklat serta mempunyai rambut hitam panjang sehingga paras dada.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa supaya segera menghubungi pihak polis.
“Maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-320 2055.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


Leave a Reply