KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Subang bakal mengalami kekosongan selepas Wong Chen mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa jam 5 petang hari ini.
Wong Chen mengumumkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook, selain berkongsi notis peletakan jawatan yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 5 Ogos lalu.
Beliau berkata keputusan itu dibuat secara sukarela selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam pertemuan pada 5 Ogos.
Menurutnya, tempoh beberapa hari diberikan bagi membolehkan pegawai Parlimen membuat persiapan berkaitan kekosongan kerusi berkenaan.
Wong Chen turut menjelaskan bahawa persetujuan dicapai untuk tidak mendedahkan perkara itu sehingga tarikh peletakan jawatan berkuat kuasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan gelaran “Yang Berhormat” akan dikeluarkan daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyuratnya mulai bulan depan.
Satu sidang media berkaitan keputusan itu dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi Rabu ini.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan Wong Chen, yang juga wakil rakyat PKR, telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.
Wong Chen sebelum ini mendakwa tidak diberikan akses kepada sistem portal peruntukan khas (MyKHAS) yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail turut dilaporkan berdepan isu sama.
Wong Chen telah mewakili Parlimen Subang selama tiga penggal.


Leave a Reply