KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu diminta memberikan penjelasan berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang yang didakwa tidak mempunyai lambang bulan dan bintang.
Dr Akmal Saleh berkata, bendera merupakan simbol maruah dan kedaulatan yang perlu dihormati serta dipertahankan.
Menurutnya, prinsip untuk mempertahankan kedaulatan bendera tidak pernah berubah dan sebarang kesilapan berkaitan perkara itu tidak wajar dipandang ringan.
“Saya mohon YAB Menteri Besar Terengganu boleh nyatakan bukti kesilapan teknikal itu berlaku ataupun mengambil tindakan tegas kepada pihak yang menggantung bendera itu secara sengaja,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan Jalur Gemilang yang berkibar tanpa lambang bulan dan bintang sehingga membangkitkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Dr Akmal berkata, penjelasan sewajarnya perlu diberikan bagi memastikan perkara itu tidak menimbulkan kekeliruan atau persoalan dalam kalangan rakyat. -KL Broadcast


Leave a Reply