KUALA LUMPUR – Usaha mempertahankan keharmonian dan perpaduan nasional perlu menjadi tanggungjawab bersama rakyat Malaysia bagi memastikan negara terus stabil dan aman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, rakyat tidak seharusnya memberi ruang kepada golongan ekstremis untuk menggugat hubungan baik yang telah terbina dalam masyarakat berbilang kaum.
Beliau berkata, semangat cintakan negara juga perlu disemai secara berterusan dan tidak hanya ditonjolkan ketika sambutan bulan kemerdekaan.
“Kita jangan benarkan pihak geng-geng, puak-puak ekstremis yang cuba merosakkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama kita jalin bersama sebagai sebuah keluarga anak Malaysia.
“Kita perlu saling hormat-menghormati dan saling sayang-menyayangi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 di sini, hari ini.
Nga Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata, kepelbagaian budaya, kaum dan agama merupakan antara kekuatan utama Malaysia yang perlu terus dihargai dan diraikan.
Menurutnya, semangat patriotisme bukan sekadar ditunjukkan melalui pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya perlu lahir daripada keikhlasan rakyat dalam menjaga kestabilan serta keharmonian negara.
“Dengan menjaga kestabilan negara, memupuk perpaduan nasional dan mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang kaum, ketiga-tiga ini sebenarnya kunci kejayaan negara kita.
“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan Orang Asli, kita adalah satu keluarga. Kita adalah sanak saudara,” katanya.
Nga Kor Ming berkata, Malaysia mempunyai potensi untuk terus berkembang sekiranya rakyat kekal bersatu dalam mempertahankan keharmonian dan kestabilan negara.
Katanya, negara tidak boleh melalui sekali lagi episod perpecahan kerana proses membangunkan dan mengukuhkan negara memerlukan komitmen semua pihak.
“Kita ada satu impian, satu negara dan satu misi. Semangat keMalaysiaan itu wajib kita pupuk dan galakkan 24 jam setiap hari.
“Itu rayuan saya kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan negara,” katanya.


Leave a Reply