KUALA LUMPUR – Penggunaan tandas OKU oleh individu yang tidak memerlukannya mengundang rasa tidak puas hati pelakon Sharifah Sakinah.
Sakinah yang kini menggunakan kerusi roda selepas mengalami kecederaan buku lali berkata, keadaan itu menyebabkan golongan yang benar-benar memerlukan kemudahan berkenaan terpaksa menunggu.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau menegur individu yang masih menggunakan tandas OKU walaupun mampu berjalan seperti biasa.
“Yang cukup fizikal dan mampu berjalan laju, tolonglah jangan suka-suka hati masuk toilet OKU.
“Sikit lagi aku nak kencing kat kerusi roda. Lepas tu keluar, manusia normal yang boleh berjalan laju,” katanya.
Sakinah kini menggunakan kerusi roda susulan kecederaan buku lali kiri yang dialaminya selepas terjatuh ketika menggunakan telefon bimbit pada awal Julai lalu.
Walaupun dinasihatkan doktor supaya berehat, pelakon itu tetap meneruskan komitmen kerja.
Sebelum ini, Sakinah hadir ke majlis tayangan gala filem Tiket Sehala dengan menggunakan kerusi roda.
Dia turut memilih untuk menjalani proses pemulihan secara semula jadi tanpa pembedahan, meskipun doktor mencadangkan rawatan fisioterapi.
Sakinah membintangi filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali yang mengetengahkan kisah sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Filem berkenaan mula ditayangkan pada 6 Ogos lalu.


Leave a Reply