KOTA BHARU – Seramai 34 pemilik kenderaan di Kelantan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, termasuk menyewakan kenderaan kepada warga Rohingya yang tidak memiliki lesen memandu sah, menurut laporan Berita Harian.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Misuari Abdullah berkata, tindakan itu sebahagian daripada usaha memperketatkan penguatkuasaan terhadap pemilik tempatan yang membenarkan individu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka.
Menurutnya, sehingga Jun lalu, sebanyak 34 kes membabitkan pemilik kenderaan telah dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM34,000.
Laporan itu turut menyebut JPJ Kelantan sebelum ini mengenal pasti taktik warga Rohingya menyewa kenderaan daripada penduduk tempatan, termasuk kenderaan mewah, pada kadar antara RM50 hingga RM500 sebulan.
Misuari berkata, 85 peratus pesalah warga asing yang dikenakan tindakan menerusi Ops PEWA di Kelantan dari Januari hingga Jun lalu terdiri daripada warga Rohingya.
Sebanyak 180 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh operasi berkenaan, dengan 105 daripadanya disita dan 201 notis dikeluarkan membabitkan 439 kesalahan.
Kesalahan tertinggi ialah memandu tanpa lesen sah sebanyak 210 kes, diikuti 105 kes penyalahgunaan cukai jalan.
Beliau mengingatkan pemilik kenderaan supaya tidak menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada individu yang tidak mempunyai lesen sah kerana boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Misuari turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengejar keuntungan melalui sewaan kenderaan tanpa mengambil kira risiko tindakan undang-undang.


Leave a Reply