LKUALA LUMPUR – MCA menyambut baik keputusan kerajaan mengembalikan kuota bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter berkuat kuasa 1 September 2026.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh anggota Jawatankuasa Pusat MCA dan Jawatankuasa Penasihat Penyelidikan Dasar Awam dan Sara Hidup Rakyat MCA, Dato’ Dr. Monna Ong Siew Siew, langkah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja, menjalankan perniagaan, mendapatkan pendidikan serta memenuhi keperluan harian keluarga.

MCA berkata, peningkatan semula kuota itu merupakan antara enam langkah segera kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dan membantu rakyat menjelang pembentangan Bajet 2027.

Bagaimanapun, parti itu berpandangan kerajaan perlu memberikan penjelasan yang lebih jelas mengenai hala tuju kuota RON95 pada masa akan datang bagi memastikan rakyat mempunyai kepastian dalam merancang perbelanjaan harian.

Menurutnya, pengurangan kuota kepada 200 liter sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, terutama mereka yang perlu melakukan perjalanan jauh atau tinggal di kawasan yang mempunyai akses pengangkutan awam terhad.

Monna Ong berkata, rakyat tidak seharusnya berada dalam keadaan tidak menentu dan tertanya-tanya sama ada kuota 300 liter itu akan dikurangkan semula sekiranya tekanan terhadap subsidi meningkat.

Pada masa sama, kerajaan disaran menjelaskan implikasi kewangan daripada keputusan mengembalikan kuota tersebut, termasuk sama ada peruntukan 300 liter itu mampu dikekalkan dalam jangka panjang atau hanya bersifat sementara.

Jika langkah itu merupakan dasar sementara, MCA mahu kerajaan menetapkan kriteria yang jelas bagi menentukan sebarang perubahan terhadap kuota pada masa hadapan.

Parti itu turut menegaskan bahawa sebarang usaha melakukan reformasi subsidi perlu dirancang secara berhati-hati supaya langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan tidak akhirnya meningkatkan beban kos sara hidup rakyat.

Selain itu, MCA menggesa kerajaan memperluaskan dan menambah baik jaringan pengangkutan awam, khususnya di kawasan luar bandar dan di luar pusat bandar utama, supaya rakyat mempunyai pilihan yang lebih praktikal selain menggunakan kenderaan persendirian.

MCA berpandangan pengembalian kuota kepada 300 liter sememangnya memberi kelegaan kepada pengguna, namun rakyat memerlukan dasar RON95 yang lebih jelas, stabil dan boleh dijangka bagi membolehkan isi rumah merancang perbelanjaan dengan lebih baik.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading