KUALA LUMPUR – Sebanyak 52 sampel DNA waris daripada 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal telah diperoleh setakat semalam.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R. Manivannan berkata, usaha mendapatkan baki sampel DNA masih diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan keperluan.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan kutipan semua sampel dapat diselesaikan minggu ini, namun ia bergantung kepada kemampuan menghubungi waris yang masih belum memberikan sampel.
“Setakat semalam, sampel DNA waris bagi 52 daripada 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi sudah diperoleh.
“Sasaran awal memang untuk diselesaikan minggu ini dan setakat ini tiada kelewatan,” katanya.
Sebelum ini, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.
Maklumat mengenai mereka diterima daripada agensi pelancongan sebelum dikumpulkan dan disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.


Leave a Reply