KUALA LUMPUR – Komuniti Rohingya atau pelarian lain berkemungkinan mempunyai parti politik sendiri di Malaysia dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang sekiranya sebahagian daripada mereka memperoleh kewarganegaraan dan memenuhi syarat untuk terlibat dalam politik.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, penubuhan sesebuah pertubuhan termasuk parti politik dan NGO tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak secara khusus menghalang seseorang daripada menubuhkan persatuan atau pertubuhan politik, namun kelulusan tetap bergantung kepada pertimbangan kerajaan dan menteri berkaitan.
“Kuasa itu ada pada menteri. Jadi, terpulang kepada budi bicara dan pertimbangan menteri atau kerajaan Malaysia untuk meluluskan setiap permohonan pertubuhan,” katanya ketika tampil dalam Podcast Sebalik Kalam.
Menurut Choo Seong, perkembangan sesebuah komuniti pendatang di negara tertentu juga berpotensi melahirkan organisasi politik yang membawa kepentingan diaspora mereka.
Beliau mengambil contoh komuniti Turkiye di Jerman yang didakwa mempunyai organisasi politik serta pengaruh dalam negara berkenaan.
Mengulas kemungkinan perkara sama berlaku di Malaysia, beliau tidak menolak kemungkinan komuniti Rohingya mempunyai pengaruh politik pada masa hadapan.
“Saya tak menolak kemungkinan dalam 20 tahun, 30 tahun wujud (parti politik sedemikian).
“Kalau kita lihat, memang ada warga Bangladesh yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Walaupun kita rasa perkara itu seperti lawak, tetapi tidak mustahil,” katanya.
Beliau berkata, kemungkinan itu bergantung kepada status kewarganegaraan dan kelayakan individu terbabit untuk menyertai proses politik negara.


Leave a Reply