KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi memperkukuh kebajikan, pengurusan sumber manusia serta keperluan warga kesihatan negara.
Gesaan itu dibuat Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang juga bekas Menteri Kesihatan menerusi satu kenyataan susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima individu di Sarawak.
Menurut Dr Zaliha, insiden berkenaan sekali lagi mengingatkan mengenai cabaran dan risiko yang dihadapi petugas kesihatan, khususnya mereka yang menjalankan tugas di kawasan pedalaman dan lokasi yang sukar diakses.
Beliau berkata, isu kebajikan dan imbuhan petugas FDS turut kembali mendapat perhatian susulan kejadian berkenaan, termasuk isu elaun yang telah dikemukakan untuk pertimbangan sejak November 2025.
Katanya, sektor kesihatan mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri merangkumi pengambilan, penempatan, skim perkhidmatan, pembangunan kerjaya, imbuhan serta kebajikan tenaga kerja.
“Keperluan terhadap suatu mekanisme yang lebih khusus bagi mengurus tenaga kerja kesihatan telah pun dikenal pasti dalam proses reformasi yang digariskan menerusi Kertas Putih Kesihatan.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu isu mendapat perhatian umum sebelum tindakan dapat digerakkan. Sebaliknya, perlu ada suatu struktur yang mampu meneliti, menyelaras dan menangani keperluan tenaga kerja kesihatan secara berterusan, tersusun dan lebih pantas,” katanya.
Dr Zaliha berkata, isu sumber manusia merupakan antara cabaran terbesar dalam memastikan sistem kesihatan negara terus berfungsi dengan baik dan mampu memenuhi keperluan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberikan pertimbangan serius terhadap cadangan berkenaan serta menetapkan hala tuju yang jelas ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.
Beliau turut menegaskan warga kesihatan merupakan tunjang kepada sistem kesihatan negara, justeru sistem yang mengurus tenaga kerja berkenaan perlu mempunyai keupayaan memahami cabaran mereka serta bertindak dengan lebih tangkas terhadap keperluan semasa.
Dr Zaliha sebelum itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter serta seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
Nahas helikopter BO-105 berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang itu mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Sham Bee serta empat petugas KKM, iaitu Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya.


Leave a Reply