KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan anak guamnya memilih untuk memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari ketika hadir ke mahkamah.
Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, Azeez pada awalnya dibenarkan mengenakan pakaian biasa sebelum diarahkan polis menukar kepada pakaian lokap mengikut prosedur operasi standard (SOP), tidak lama sebelum dibawa keluar dari tahanan.
“Bagaimanapun, tidak lama sebelum dibawa keluar dari lokap, beliau diarahkan menukar kepada pakaian lokap berwarna ungu mengikut SOP Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Azeez kekal di bawah jagaan dan kawalan polis selepas prosiding reman sebelum dibawa terus ke Mahkamah Sesyen lain bagi menghadapi pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa diberi peluang menukar pakaian lokap.
Menurut Amer, gari yang dipakaikan kepada Azeez juga dilakukan oleh polis dan bukannya SPRM.
“Kami amat terkejut dengan kenyataan yang dikaitkan dengan SPRM yang mencadangkan bahawa anak guam kami memilih atau berkeras untuk memakai pakaian lokap dan gari.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, anak guam kami berada di bawah tahanan polis sepanjang masa dan pakaian lokap serta gari berkenaan berlaku ketika beliau berada dalam tahanan polis,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan Azeez hadir ke mahkamah dengan memakai pakaian lokap polis dan gari atas kehendak sendiri meskipun dinasihatkan tidak perlu berbuat demikian.


Leave a Reply