KUALA LUMPUR – Dua daripada lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak pada 8 September lalu disahkan layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, waris juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) dianggarkan RM5,355.

Katanya, balu mangsa, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, akan menerima RM3,213 sebulan untuk seumur hidup, manakala dua anak mereka masing-masing berusia satu dan lima tahun menerima RM2,142 sebulan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Bagi seorang lagi mangsa, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, layak menerima FPM sebanyak RM3,000 selain Faedah Pencen Penakat RM1,574.10 sebulan untuk seumur hidup.

“Perkeso akan segera menyalurkan bantuan kepada waris mangsa bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Ramanan berkata, tiga lagi mangsa yang maut dalam nahas itu tidak mempunyai rekod caruman dengan Perkeso.

Katanya, kes mereka akan dirujuk kepada platform Social Synergy bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang mungkin boleh diterima daripada agensi berkaitan.

Dalam kejadian 8 September lalu, seorang juruterbang bersama empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.