KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan turun ke kawasan pedalaman bagi meninjau secara dekat keseluruhan aspek pendidikan orang asli, termasuk latihan guru, pedagogi, kekangan operasi serta pencapaian dan kejayaan komuniti setempat.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, lawatan itu turut memberi peluang untuk melihat sendiri sinergi antara sekolah, guru dan komuniti dalam memastikan pendidikan anak-anak orang asli terus diperkasa.
Menurutnya, beliau kini membaca sebahagian buku “Pembangunan Pendidikan Orang Asli di Malaysia” yang disifatkannya banyak mengupas pendekatan sebenar, aspek pemilikan, pedagogi serta peranan institusi dalam pembangunan pendidikan orang asli.
“Saya harap para penulis, pengkaji dan pemakalah buku ini tidak berhenti setakat buku ini sahaja. Penulisan dan kajian mereka harus ditulis dan diterjemahkan bersama inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Isu pembangunan pendidikan anak orang asli adalah ‘passion’ saya yang cukup mempengaruhi seluruh pendidikan manusiawi yang selalu saya canangkan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Fadhlina berkata, beliau mungkin terputus hubungan buat sementara waktu sepanjang berada di kawasan pedalaman untuk beberapa hari.
Namun, katanya, sebaik kembali, beliau dan kementerian akan meneruskan usaha melakukan yang terbaik demi pendidikan anak-anak orang asli di Malaysia.
“Buat guru-guru di pedalaman yang akan saya temui nanti, tunggu saya ya! Semoga terus kuat demi anak Malaysia!” katanya. -KL Broadcast


Leave a Reply