KUALA LUMPUR – UMNO menghormati keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditangguhkan ke mesyuarat akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu menjunjung kasih serta menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong dan proses pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, UMNO berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan.
“Bagi UMNO, perjuangan mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Najib bukanlah suatu usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang.
“Sebaliknya, UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO turut memahami keresahan dan kekecewaan ahli parti serta rakyat yang sudah lama menantikan perkembangan berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, beliau menyeru semua pihak supaya bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.
“UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Datuk Seri Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.


Leave a Reply