NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi di Hyderabad House bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India.
Anwar berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Modi atas layanan istimewa yang diberikan kepada delegasi Malaysia sejak tiba di New Delhi.
Menurutnya, pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneruskan momentum hubungan Malaysia-India yang mempunyai sejarah panjang serta hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.
“Alhamdulillah, kami sepakat untuk meneruskan momentum hubungan erat Malaysia-India serta memperteguh persahabatan yang berakar daripada sejarah panjang dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam sektor strategik, terutama industri semikonduktor.
Katanya, kekuatan yang dimiliki Malaysia dan India boleh digabungkan menerusi kerjasama industri, integrasi rantaian bekalan, pembangunan bakat serta peningkatan pelaburan dua hala.
Beliau turut menyuarakan kepentingan memudahkan dan mempercepatkan proses kemasukan produk eksport Malaysia ke pasaran India.
Langkah itu, katanya, mampu memberi peluang lebih besar kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran India yang besar dan terus berkembang.
“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh persahabatan ini yang saling menguntungkan demi kemakmuran rakyat kedua-dua negara,” katanya.


Leave a Reply