LOS ANGELES – Empat artis yang terlibat dalam jelajah Loop Ed Sheeran mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada persembahan akan datang susulan kontroversi membabitkan rapper Macklemore.
Mereka terdiri daripada penyanyi Ireland, Aaron Rowe, kumpulan Beoga, penyanyi Denmark Lukas Graham serta penyanyi Amerika Syarikat, Finneas. Keempat-empatnya menyatakan pendirian masing-masing selepas Macklemore dikeluarkan daripada barisan persembahan jelajah berkenaan.
Macklemore sebelum ini menjadi perhatian selepas menyuarakan sokongan kepada Palestin ketika membuat persembahan di New Jersey, termasuk melaungkan seruan ‘Free Palestine’.
Dalam kenyataan susulan, Ed Sheeran menjelaskan bahawa keputusan untuk mengeluarkan Macklemore daripada jelajah itu dibuat oleh pihak promoter selepas beberapa pemilik venue mengambil pendirian berhubung penyertaan rapper berkenaan. Sheeran turut berkata beliau sebelum itu cuba mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut.
Aaron Rowe kemudian mengumumkan pengundurannya daripada baki persembahan jelajah tersebut, manakala Beoga turut mengambil keputusan sama.
Lukas Graham dan Finneas selepas itu turut mengesahkan mereka tidak akan meneruskan persembahan dalam jelajah berkenaan.
Finneas berkata artis tidak seharusnya disekat daripada menyuarakan pandangan mengenai isu kemanusiaan, manakala Lukas Graham turut menyentuh soal kebebasan bersuara dalam kenyataannya.
Dengan keputusan itu, kesemua artis sokongan yang dijadualkan untuk baki tarikh jelajah berkenaan telah menarik diri.


Leave a Reply