KUALA LUMPUR – Dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Jalan Munshi Abdullah, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zamzuri Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi itu menyebabkan seorang wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan pada leher, manakala lelaki berusia 41 tahun cedera pada lutut dan tangan.

Menurutnya, kemalangan berlaku selepas penunggang motosikal berusia 21 tahun bersama pembonceng berusia 19 tahun dipercayai memasuki laluan yang telah ditutup menggunakan kon.

“Penunggang berkenaan telah diarahkan berhenti oleh anggota polis yang bertugas mengawal penutupan jalan, namun dipercayai bertindak melarikan diri dengan menunggang secara melawan arus sebelum melanggar dua peserta maraton yang sedang berlari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa wanita kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court.

Zamzuri berkata, penunggang motosikal terbabit direman selama tiga hari sehingga 5 Oktober, manakala pembonceng ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Saringan awal alkohol terhadap penunggang menggunakan alat penguji nafas (EBA) menunjukkan bacaan positif sebanyak 164mg/100ml.

Kedua-dua suspek turut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pengambilan sampel darah dan air kencing bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading