TELUK INTAN – Kementerian Digital meneruskan usaha memperluas pembudayaan digital dalam kalangan masyarakat menerusi Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Zon Utara yang berlangsung di Dewan Bandaran Teluk Intan, Perak, pada 30 September lalu.
Program itu memberi tumpuan kepada golongan warga emas, usahawan mikro serta perniagaan kecil dengan pengisian berkaitan literasi digital, kesedaran terhadap penipuan dalam talian, penggunaan platform digital bagi perniagaan dan pendedahan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Pelaksanaan MDKD2026 secara berperingkat di seluruh negara bertujuan memastikan agenda pendigitalan dapat didekatkan kepada masyarakat di peringkat komuniti.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sebagai rakan strategik dalam usaha meningkatkan kesedaran dan keupayaan digital komuniti setempat.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, Tuan MA. Sivanesan, dengan kehadiran Yang Dipertua MPTI, Tuan Mohd Faizal Md Kasim.


Dalam ucapan perasmian, Sivanesan berkata golongan rentan khususnya warga emas semakin terdedah kepada risiko penipuan dalam talian.
Sehubungan itu, beliau berkata MDKD2026 bukan sekadar memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi, malah bertujuan membantu masyarakat mengenal pasti ancaman digital serta mengambil langkah melindungi diri dan keluarga.
Program tersebut turut memberi penekanan kepada penggunaan teknologi secara selamat dan bertanggungjawab, termasuk pemanfaatan AI dalam kehidupan serta aktiviti ekonomi komuniti.


Leave a Reply