KUALA LUMPUR – Keluarga Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam seorang rakan sekolah di Bandar Utama tahun lalu, memfailkan saman sivil terhadap beberapa agensi kerajaan serta ibu bapa remaja lelaki berkenaan.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), saman itu difailkan menerusi peguam keluarga, Tetuan Surendra Ananth, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Keluarga berkata tindakan tersebut bukan didorong keinginan untuk membalas dendam, sebaliknya bertujuan memastikan pihak berkaitan bertanggungjawab serta mengelakkan tragedi sama berulang terhadap kanak-kanak lain.
Menurut mereka, kejadian itu dipercayai boleh dielakkan sekiranya langkah sewajarnya diambil oleh pihak yang berkaitan.
Beberapa agensi kerajaan dinamakan sebagai defendan, dengan keluarga berhujah bahawa agensi terbabit mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang untuk mengambil langkah menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Ibu bapa remaja lelaki itu turut dinamakan sebagai defendan. Keluarga mendakwa terdapat tanda-tanda amaran yang sepatutnya diberikan perhatian serta tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka tidak membahayakan orang lain.
Remaja lelaki berkenaan juga dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.
Sementara itu, pada 14 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan remaja berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh selepas mendapati dia tidak waras ketika kejadian. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan remaja itu ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, di bawah perkenan Sultan Selangor.
Jabatan Peguam Negara kemudian memfailkan notis rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan pada 22 September lalu.


Leave a Reply